Cabaran dan rintangan yang menghadapi pelajar/remaja serta
penyelesaiannya
Maqalah ini tidak bertujuan untuk mengupas cabaran pelajar untuk
menghadapi peperiksaan kerana kebanyakan teknik-teknik untuk mencapai
kecemerlangan dalam peperiksaan telah banyak dikupas dan memadai. Oleh itu
maqalah ini bertujuan untuk menumpukan perbincangan terhadap permasalah yang
dihadapi oleh pelajar dalam menghadapi alam persekitaran yang sungguh mencabar
ditambah lagi dengan pelbagai gejala sosial yang melanda masyarakat khususnya
remaja. Ramai yang beranggapan kalau seseorang pelajar itu pintar dalam
pelajaran, maka secara automatik ia melambangkan bahwa syakhsiahnya
(keperibadiannya) adalah cemerlang. Tanggapan seumpama ini tidak tepat.
Pembentukan syaksiah sepatutnya merangkumi syakhsiah aqliah (aqal) dan
syaksiyah nafsiyah (jiwa). Hanya syaksiyah yang menyeluruh sahaja yang akan
mempastikan para pelajar/remaja akan tabah menghadapi cabaran. Ramai juga
beranggapan jika remaja itu hidup dalam kemewahan, maka dia tidak akan terjebak
ke dalam masalah sosial seolah-olah kemewahan adalah kunci kebahagiaan. Sudah
sampai masanya kita semua serius dalam menghadapi masalah-masalah ini dan mula
memikirkan cara untuk mengatasinya. Masalah-masalah ini telah menyebabkan
masyarakat hidup dalam ketakutan, keluarga menjadi porak peranda, kerajaan
terpaksa membelanjakan berjuta-juta ringgit untuk mengatasinya dan musuh-musuh
mengambil kesempatan untuk merosakkan kita semua.
Pelbagai pihak telah
menyuarakan kebimbangan terhadap keterlibatan remaja dalam pelbagai masalah
atau remaja yang menjadi sasaran. Lihat sahaja beberapa petikan akhbat di
bawah:
- Dua remaja berusia 19 tahun telah merogol seorang kanak-kanak di
Kepong pada 13 Ogos 2001 sehingga terkeluar usus kanak-kanak tersebut
(Berita Harian, 8/2/03).
- Seorang pelajar berusia 15 tahun merogol ibu kandungnya berusia 41
tahun di Kuala Kangsar (Berita Harian, 24/10/02).
- Seorang pelajar, Nurul Hanis, berusia 16 tahun dirogol dan dibunuh
pada 3 Julai 2001.
- Kajian oleh USM mendapati di tiga tanah rancangan FELDA di Johor,
ibu bapa dan anak-anak berkongsi bahan lucah dan kanak-kanak berusia 12
tahun mampu mengajuk perbuatan lucah atau menerangkan secara terperinci
aksi seks (Berita Harian, 22/10/01).
- Kegiatan vandalisme remaja menjadi semakin serius (Berita Harian,
28/1/03).
- 90% daripada 6,000 kes baru
AIDS/HIV di Malaysia dalam tahun 2002 melibatkan mereka yang berumur 13
hingga 39 tahun (The Sun, 28/2/03).
- Kegiatan melepak juga menjadi semakin berleluasa dan didapati
kebanyakan remaja yang melepak berumur antara 14 dan 20 tahun termasuk di
kalangan pelajar (Berita Harian, 18/2/03).
- 300 pelatih Institut Kemahiran Belia Negara di Kajang merusuh
akibat pergaduhan antara pelajar lama dengan baru (Berita Harian,
30/1/03).
- Pelajar-pelajar MRSM dan Sekolah Menengah Teknik di Pengkalan
Chepa bergaduh sehingga menyebabkan 4 pelajar cedera (Berita Harian, 22/11/02).
- 10 pelajar menyerang beratus-ratus pelajar di Sekolah Menegah
Taman Universiti 2, Skudai hingga mencederakan ramai pelajar (Berita Harian,
Julai 2001).
- Seorang pelajar telah meletakkan air kencingnya ke dalam botol
mineral rakannya mengakibatkan rakannya mengalami kesakitan setelah
meminumnya (2/8/2000).
- Hasil kaji selidik telah mendapati sejumlah remaja Islam tidak
mendapati perkara-perkara seperti memakai baju yang menampakkan pusat,
berpeluk/bercium di hadapan ibu bapa/khalayak ramai, mewarna rambut dan
lain-lain perkara yang bercanggah dengan Islam sebagai perkara yang
meruntuhkan akhlak (Berita Harian, 7/1/03).
- Kejadian buli di kalangan pelajar di beberapa sekolah menengah
didapati tinggi sekitar 15% di mana kes buli secara psikologi lebih banyak
berlaku berbanding perbuatan secara fizikal (Berita Harian, 19/12/02).
- Kes setubuh haram kian meningkat (Berita Harian, 23/12/02). Remaja
berusia bawah 18 tahun tanpa mengira kaum melakukan hubungan seks purata
121 kali setahun atau 3 kali seminggu (Harian Metro, 8/2/03).
- 4 murid Tahun 2 ditangkap melakukan seks oral di sebuah sekolah
rendah di Taiping (Berita Harian, 20/8/01).
- 5 pelajar UTM termasuk seorang pelajar perempuan ditahan polis
kerana memiliki dadah (Berita Harian, 19/10/02).
- 33% daripada 200 penagih baru di Johor ketagih dadah setelah
mereka mencuba ketika berusia 13 tahun lagi (Utusan Malaysia, 24/5/01).
- 5 pelajar kolej swasta memandu masuk sebuah kereta ke dalam balai
berlepas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (Berita Harian,
7/2/02).
- 9,087 pelajar di Johor dilaporkan melanggar disiplin dalam tahun
2002 (Berita Harian, 25/12/02).
- 1,875 sekolah di seluruh negara mengalami masalah disiplin dan 798
sekolah lagi mengalami masalah salah laku (Berita Harian, 9/11/03).
- Kementerian Belia dan Sukan dan UPM membuat kajian dalam tahun
1994 dan mendapati 40% remaja menonton filem lucah, 28% berjudi dan 25%
minum arak.
- Kes jenayah remaja semakin membimbangkan di mana 30% daripada
18,000 kes jenayah dalam tahun 2002 membabitkan remaja sama ada sebagai
pesalah atau mangsa (Berita Harian, 30/12/02).
- Kes juvana melibatkan remaja bawah 21 tahun semakin meningkat
sehingga kerajaan terpaksa membina sebuah pusat tahanan juvana dengan kos
RM100 juta. 1,300 juvana ditempatkan di penjara di seluruh negara
(29/8/01).
Terikut-ikut Trend
Para remaja begitu mudah
terikut-ikut trend baru. Ini tidak menghairankan ketika umat Islam sedang mengalami
kemerosotan dan memang tabiat manusia mudah sangat mengikut trend pihak yang
sedang menguasai dunia iaitu pihak Barat khususnya Amerika. Benarlah kenyataan
Ibnu Khaldun:
“Yang kalah cenderung
mengekori yang menang, dari segi pakaian, kenderaan, bentuk senjata yang
dipakai, malah meniru dalam setiap cara hidup mereka, termasuk di sini adalah
mengikuti adat istiadat mereka.”
Saat ini umat Islam memang
berada di bawah lutut kafir. Mereka begitu bersemangat meniru fahaman Barat.
Ketika Barat mengatakan bahwa peraturan yang moden dan layak dipakai adalah
buatan Barat, bukannya peraturan Islam yang dianggap usang, mereka
mengikutinya. Ketika Barat mengatakan sekarang adalah zaman kebebasan, tidak
perlu terikat oleh peraturan halal haram, mereka bersetuju dan mengikuti gaya
hidup barat. Ketika barat menawarkan gaya tabarruj (berdandan
berlebih-lebihan), mewarnakan rambut, silelaki menindik telinga, lelaki dan
wanita mendedahkan aurat, memakai seluar pendek, sesetengah umat Islam sangat
tertarik untuk mengikutinya. Umat Islam memiliki sifat ‘inferiority complex’.
Mereka tidak lagi terikat
dengan peraturan Allah kecuali hanya sedikit. Itu pun kalau sesuai dengan
keinginan mereka dan dianggap menuntungkan. Banyak di antara mereka yang
terjerumus ke lembah maksiat tanpa sedikit pun memperhatikan peringatan agama
yang dapat menyelamatkan mereka dari lembah dosa dan noda maksiat itu. Yang
menyedihkan ialah mereka melakukan maksiat dan kesalahan tersebut dengan sedar.
Tidak jarang sebahagian dari mereka melakukannya dengan mengetahui bahwa
perbuatan terkutuk itu diharamkan Islam.
Penyelesaian
Berhati-hatilah jangan
termakan pujukan barat melalui propaganda/iklan trend yang seolah-olah
menjanjikan kemanisan. Sekilas memang manis mungkin tetapi kita tidak tahu bahwa
di sebalik apa yang ditawarkan barat banyak racun yang sangat pahit dan
menyesatkan.
“Dan jika kamu menuruti
kebanyakan orang-orang yang ada di muka bumi ini, nescaya mereka akan
menyesatkan kamu dari jalan Allah.” (Al-An’am, 116)
Belum terlambat buat sesiapa
yang terlanjur mengikut trend. Setelah menyedari bahaya yang mengancam kerana
tradisi ikut-ikutan, anda mesti meninggalkannya. Bagi yang baru mahu
mengikut-ikut, jangan cuba dekati. Bahkan anda wajib menyedarkan
saudara-saudarimu yang sedang terlarut dalam tradisi buruk ini. Renungkanlah
firman Allah:
“Dan janganlah kamu
mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya
pendengaran, penglihatan dan hati semuanya akan dipertanggungjawabkan.”
(Al-Isra’, 36)
Para pemuda/remaja mesti menjadikan Islam sebagai
kayu ukur (standard) terhadap tingkah laku mereka. Hanya dengan berbuat
demikian pelbagai masalah dapat dielakkan. Mereka mesti mengelakkan diri mereka
dari sikap-sikap yang bertentangan dengan Islam seperti:-
- Aku sudah pandai, aku tahu apa yang aku buat. Jangan cuba nak ajar
aku, atau
- Aku sudah dewasa, aku bukan budak- budak kecil lagi, aku tahu apa
yang aku buat.
- Zaman sudah berubah, jadi Islam mesti diubahsuai ikut trend. Cara
Nabi SAW sudah kolot dan ketinggalan zaman.
Dan bermacam-macam lagi
pandangan negatif yang hanya menghancurkan diri mereka.
Para pemuda/remaja mesti
mendalami Islam supaya mereka dapat membezakan antara hadarah dan madaniyah.
Hadarah adalah sekumpulan idea tentang kehidupan yang dianuti sedangkan madaniyah
adalah bentuk-bentuk fizikal dari benda-benda yang terindera yang digunakan
dalam berbagai aspek kehidupan. Hadarah bersifat khas dan berkait dengan
pandangan hidup. Madaniyah boleh bersifat khas dan boleh pula bersifat umum
untuk seluruh manusia. Umat Islam boleh hanya mengambil hadarah Islam dan
madaniyah umum sahaja. Hadarah bukan Islam seperti kebebasan seks, kebebasan
untuk murtad/keluar dari Islam tidak boleh diambil. Contoh madaniyah umum
adalah kemajuan dalam bidang sains dan teknologi seperti komputer dan satelit.
Para pemuda/remaja mesti
melakukan perkara-perkara berikut untuk menangani permasalahan yang semakin
kronik ini iaitu:
- Meneguhkan Syakhsiyah Islamiyah (keperibadian Islam).
- Giat melakukan dakwah.
Syakhsiyah Islamiyah
Bekalan yang diperlukan oleh
pelajar/remaja dalam mengharungi cabaran adalah syakhsiyah Islamiyah
(keperibadian Islam). Keperibadian itu terdiri daripada
- Syakhsiyah Aqliyah (Cara berfikir),
- Syaksiyah Nafsiyah (Cara bersikap).
Cara berfikir Islami (Aqliyah Islamiyah) yang
dimiliki Muslim akan mendorongnya untuk selalu meningkatkan kemampuan berfikir.
Ia akan gemar memikirkan tentang alam semesta yang ada di sekitarnya hingga dia
memahami kebesaran dan kekuasaan Allah SWT yang telah mencipta semua itu
termasuk dirinya. Beratus-ratus ayat Quran memerintahkan manusia supaya
berfikir menggunakan aqalnya. Contohnya:
“ Sesungguhnya dalam
penciptaan langit dan bumi, silih berganti malam dan siang, bahtera yang
berlayar di laut membawa apa yang berguna bagi manusia, dan apa yang Allah
turunkan dari langit berupa air lalu dengan air itu Dia hidupkan bumi sesudah
matinya dan Dia sebarkan di bumi itu segala jenis haiwan, dan pengisaran angin
dan awan yang dikendalikan antara langit dan bumi, terdapat tanda bagi mereka
yang memikirkannya.” (Al-Baqarah, 164).
Penguasaan cara berfikir
Islami mendokong cara bersikap dan tingkah laku (nafsiyah Islamiyah) seorang
Muslim. Meski pun berilmu tinggi, dia tetap bersikap tawadu’, tidak menyombong
diri. Dia tidak merasa rendah diri dan tidak merendahkan manusia. Sebagai hamba
Allah, dia sentiasa mendekatkan diri kepadaNya dengan melaksanakan
perintah-perintahNya dan menjauhi laranganNya. Sebagai contoh, dia tidak
meninggalkan ibadat yang diwajibkan, dia suka memperbanyakkan amalan-amalan sunat,
rajin membaca Quran, berdoa, berzikir memuji Allah SWT, bertahajud di malam
hari dan sebagainya.
Dakwah
Pada masa kini terdapat
pandangan sempit dan negatif tentang dakwah hingga timbul pandangan-pandangan
seperti dakwah itu hanya sesuai dilakukan oleh mereka yang mendalami Islam di
universiti atau madrasah-madrasah yang bergelar ustaz seolah-olah usaha dakwah
itu adalah profesion/kerjaya yang dikhaskan untuk orang tertentu sahaja. Ada
juga yang melabelkan orang-orang tertentu seperti yang memakai kupiah atau
bertudung labuh sebagai ‘orang dakwah’ dan orang-orang ini kadangkala dipandang
serong sebagai orang yang jumud, tak intelektual dan sebagainya.
Pandangan-pandangan serong seperti ini terjadi akibat serangan pemikiran yang
dilakukan oleh barat sehingga dakwah kadangkala dipandang sebagai sesuatu yang
menghinakan.
Hakikatnya, dakwah adalah
satu-satunya jalan untuk memperbaiki keadaan. Dakwah merupakan kewajiban yang
dibebankan Allah SWT kepada segenap umat Islam tidak kira remaja mahu pun orang
tua di mana pun dia berada. Sedarlah bahwa dakwah adalah sebaik-baik perbuatan
(perkataan) yang sepatutnya dilakukan oleh umat Islam termasuk remaja. Firman
Allah SWT:
“ Dan siapakan yang lebih
baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal
soleh dan berkata,’Sesungguhnya aku termasuk golongan umat Islam.” (Fusilat:33)
Sekarang timbul pertanyaa:
Apa yang mesti dilakukan oleh remaja Muslim dalam kerangka dakwah itu?
Kaedah dakwah bagi remaja Muslim adalah berdasarkan kaedah
dakwah yang dilakukan oleh Rasulullah SAW. Rasulullah SAW memulakan dakwahnya
dengan membina keperibadian sahabat secara intensif. Beliau tidak membezakan
golongan, umur dan kedudukan social. Pemahaman aqidah yang mendalam hingga
tertanam di hati para sahabat merupakan langkah awal dalam dakwah beliau.
Selama 13 tahun dakwah beliau di Makkah, beliau berdakwah dengan tema tauhid
dan iman – bahwa hanya Allah yang mesti disembah, asal kejadian manusia,
siapakah yang mencipta alam semesta, manusia dan kehidupan, tujuan hidup umat
Islam, qada’ dan qadar, ajal, rezeki dan lain-lain. Pemahaman dakwah seperti
itu membuahkan dorongan kuat dalam sikap mereka. Aqidah yang difahami para
sahabat benar-benar melahirkan keterikatan mereka yang kuat terhadap Islam dan
membuatkan orang Islam dihormati oleh orang-orang lain. Dengan bekalan seperti
itu, para sahabat gigih berdakwah sehingga berjaya mengubah masyarakat dari
keadaan jahiliyah ke keadaan yang diredai Allah SWT.
Kesimpulan
Zaman ini merupakan zaman
yang mencabar apa lagi dengan serangan pemikiran yang dilakukan Barat khususnya
Amerika. Masalah sosial dan masalah-masalah lain yang kian meruncing sepatutnya
membuka mata kita tentang begitu seriusnya masalah ini dan menuntut para
remaja/pelajar untuk mempersiapkan diri dan melakukan perubahan. Kita tidak
boleh menutup pancaindera kita daripada permasalahan yang melanda masyarakat
atau terus dengan keegoan kita bahwa masyarakat kita sudah makmur dan
menganggap bahwa masyarakat yang makmur bebas daripada sebarang masalah. Sebaliknya,
kita lihat semakin kaya masyarakat kita, semakin banyak masalah kerana timbul
sikap hedonisme, materialistic, pentingkan diri sendiri, tamak dan
bermacam-macam lagi sikap yang menyedihkan. Hanya tawakal kepada Allah dan
kerja keraslah yang bakal memberi harapan kepada pemuda Islam untuk menghadapi
berbagai cabaran berat yang melanda umat. Firman Allah SWT:
“ Sesungguhnya Allah tidak
akan mengubah keadaan sesuatu kaum sebelum mereka mengubah apa yang ada dalam
diri mereka sendiri.” (Ar-Ra’d, 11)
1 ulasan:
Info yang sangat menarik! Terima kasih kerana berkongsi ilmu.
Catat Ulasan