Sabtu, 27 September 2008

Salam Orang Jauh (Cepat 4 jam Dari Malaysia)

Assalamualaikum

Pertama sekali saya nak minta maaf pada man_jb sebab "hijacked" blog lintahtiram, malas rasanya nak buat blog baru, takut tak ada masa nak update akhirnya terbengkalai. Jangan marah ye...bulan puasa kena banyakan bersabar. Lagipun inilah masanya nak beritahu kawan-kawan perkembangan terkini bekas moderator lintahtiram. Moderator lintahtiram yang baru siapa ya?

Lokasi Sebenar

Bandar utama tempat persinggahan adalah Palmerston North, paling hampir dengan Wellington, New Zealand. Suasana sejuk sepanjang masa, sekarang ni musim bunga, suhu antara 10-16 C. Angin bertiup kencang hampir setiap masa (lihat windfarm kat bawah) menambahkan lagi aura sejuk. Traffic kat sini antara yang terbaik sebab mungkin tak ramai orang sangat, pandu kereta selaju 50 km/h adalah satu tabiat, tapi kalau kat Malaysia buang tebiat namanya, confirm kena hon orang belakang. Di sini tiada restoran ala-ala restoran mamak di Malaysia yang ada skrin besar kat luar (sebab sejuuuk duduk luar). Makan di luar pun mahal, kadang-kadang tu bolehlah, tapi kalau makan di luar selalu, hujung bulan terpaksa makan roti loooo.



Rumah Sewa

Sekarang ni saya duduk kat Masjid di bandar Palmerston North (Manawatu Muslim Asscociation), mungkin ramai orang Malaysia kata: "Apasal kau duduk kat Masjid, merempat ke!". Sebenarnya kat Masjid ni ada bilik sewa, kebetulan ada bilik kosong (hanya untuk orang bujang sahaja) dan sekarang ni ada kawan-kawan muslim dari Afrika, Arab dan Mongolia. Antara kelebihan duduk kat sini ialah sewa murah (Kalau Datuk Bandar Palmerston North tahu dia mesti nak duduk sini) dan boleh jumpa brother-brother muslim yang ada di sini. Dapur ada, boleh masak sendiri, bulan puasa ni kurang masak sebab hampir setiap hari ada orang bawa makanan untuk berbuka di Masjid, saya ikut serta tiap kali berbuka. Macam-macam jenis makanan daripada pelusuk negeri-negeri umat Islam saya dah rasa, tapi setakat ni nampaknya orang Arab tak suka makan pedas, agaknya apa akan jadi kalau saya bagi diorang makan sambal belacan?


Universiti

Universiti jauh sikit daripada rumah saya, tapi kalau guling-guling pun boleh sampai, kalau naik bas lebih kurang 30 minit, saya naik bas free sebab ada student id, nama universiti: Massey University, bidang yang paling kuat di sini ialah biotech, food technology, dan Animal Vet (paling top di NZ). Bidang saya cenderung kepada Electromagnetic Sensor. Penduduk kat NZ tak ramai, dalam 4 juta, nisbah kambing dan manusia ialah 4:1, mungkin sebab tu Massey University guna kepala kambing sebagai logo dia, bagi penghormatan buat penghuni majoriti di sini. Nasib baik kambing ni Allah tak bagi akal, kalau ada akal dah tentu diorang ada kesedaran siyasah (politik) lepas tu asyik tegur manusia: "Kenapalah kau ni berperangai macam binatang, asyik ikut nafsu je" (teguran buat diri saya juga). Sembahyang kat Massey University pun tiada masalah sebab ada Islamic Center (Masjid), student-student undergaduate dari Malaysia buka puasa di sini. Sebenarnya kalau nak dicampur student undergraduate dan postgraduate daripada Malaysia boleh tahan jumlahnya.




Antara Sungai Manawatu, Windfarm dan Bunga Sakura

Bandar Palmerston North dan Massey University di pisahkan oleh sungai Manawatu, panjangnya saya tak tahu, lebar dia ada dalam 180 langakh (saya dah check pakai langkah saya sendiri). Dalam gambar tu dari jauh atas bukit (sorry ek kena teropong sikit) nampak macam kipas-kipas kecil sebenarnya adalah electric generator guna tenaga angin, dari jauh nampak kecil tapi sebenarnya besar, saya tak sempat pergi sana lagi, ada masa saya pergi. Sekarang ni musim bunga sakura, bunga sakura ni tahan 2 minggu je lepas tu dia gugur. Macamana diorang boleh ada bunga sakura pun saya tak tahu, mungkin di bawa daripada Jepun atau Jepun ambil dari NZ, entahlah.





Selamat Hari Raya & Maaf Zahir Batin

Apa pun terjadi di sini, biarlah semuanya saya ambil sebagai pengalaman berguna, nak minta orang Malaysia kirim makanan susah sikit sebab Imigresen NZ ni "poyo" sikit, macam-macam tak boleh masuk NZ. Apapun nak minta 'kirim' doa, Selamat Hari Raya & Maaf Zahir Batin, kalau ada rezeki kita jumpa lagi. Rindunya pada orang Malaysia dan suasananya. Wassalam.

Mohd Amri b Md Yunus
81 Cook Street
Palmerston North 4410
New Zealand
amri@fke.utm.my

Tiada ulasan: