Ahad, 24 April 2016

Masalah Pengklonan Daripada Pandangan Islam

Pendahuluan

Pengklonan adalah teknik menghasilkan keturunan bagi makhluk hidup seperti tumbuhan, manusia, dan haiwan di mana keturunan tersebut mempunyai kod genetik atau ciri-ciri/sifat-sifat yang sama dengan induknya. Kaedah ini dikenali sebagai pemindahan sel nuklear somatik (somatic cell nuclear transfer). Rajah 1 menunjukkan ringkasan mengenai perbincangan topik pengklonan. Perbincangan akan meliputi tentang isu asas pengklonan benda hidup (makhluk). Seterusnya, kita akan lihat perbandingan diantara pengklonan manusia dan haiwan. Perbandingan antara pengklonan embrio manusia dan embrio haiwan akan dikupas daripada sudut pandangan Islam disamping kaitannya dengan kajian sel tunjang (stem sel).

Rajah 1: Ringkasan tentang perbincangan topik pengklonan


Pengklonan Manusia



Pengklonan manusia adalah teknik menghasilkan dan memperbanyakkan keturunan bagi manusia di mana keturunan tersebut mempunyai kod genetik atau ciri-ciri fizikal, potensi akal, dan potensi kejiwaan yang sama dengan induknya, namun keturunan ini tidak akan mewarisi hasil usaha induknya. Antara ciri-ciri utama pengklonan manusia adalah:
  • Proses pengklonan melibatkan sel-sel tubuh manusia (sel somatik).
  • Boleh berlaku dengan adanya lelaki atau tanpa lelaki.
  • Tidak melibatkan sel sperma.
  • Inti (Nukleas) sel somatik digabungkan dengan sel ovum yang telah dibuang intinya (nukleas).
  • Keturunan atau zuriat yang lahir akan mempunyai sifat-sifat fizikal, potensi akal, dan potensi kejiwaan yang sama dengan induknya. Tetapi tidak hasil usaha induknya (seperti kelayakan akademik, harta, pangkat dan lain-lain).

Pengklonan Embrio Manusia

Pengklonan embrio manusia adalah teknik menghasilkan dan memperbanyakkan keturunan bagi manusia di mana keturunan tersebut mempunyai kod genetik yang datang daripada sel-sel kelamin induk-induknya, namun keturunan ini tidak akan mempunyai persamaan sifat fizikal, potensi akal, dan perasaan dengan induk-induknya, dan keturunan ini tidak akan mewarisi hasil usaha induk-induknya. Antara ciri-ciri utama pengklonan embrio manusia adalah:
  • Melibatkan sel kelamin (sperma dan ovum).
  • Tidak boleh berlaku tanpa adanya lelaki.
  • Setelah persenyawaan sel embrio akan mencapai tahap 8 sel, kemudian sel embrio ini akan mengalami proses pembelahan. Sel-sel embrio dimasukkan semula ke dalam rahim.
  • Keturunan akan mempunyai sifat-sifat fizikal, potensi akal, dan potensi kejiwaan yang berbeza dengan induk-induknya.
  • Boleh menghasilkan lebih daripada satu anak.
  • Sel-sel embrio boleh disimpan untuk tujuan kajian sel tunjang (stem cell).

Pengklonan Haiwan

Pengklonan adalah teknik menghasilkan dan memperbanyakkan keturunan bagi haiwan di mana keturunan tersebut mempunyai kod genetik atau ciri-ciri fizikal dan potensi kejiwaan yang sama dengan induknya. Antara ciri-ciri utama pengklonan haiwan adalah:
  • Melibatkan sel-sel tubuh haiwan (sel somatik).
  • Boleh berlaku dengan adanya haiwan jantan atau tanpa haiwan jantan.
  • Tidak melibatkan sel sperma.
  • Inti (Nukleas) Sel somatik digabungkan dengan sel ovum yang telah dibuang intinya (nukleas).

Pengklonan Embrio Haiwan

Pengklonan embrio haiwan adalah teknik menghasilkan dan memperbanyakkan keturunan bagi haiwan di mana keturunan tersebut mempunyai kod genetik yang datang daripada sel kelamin induk-induknya, namun keturunan ini tidak akan mempunyai persamaan sifat fizikal, dan perasaan dengan induk-induknya. Antara ciri-ciri utama pengklonan embrio haiwan adalah:
  • Melibatkan sel kelamin (sperma dan ovum).
  • Tidak boleh berlaku tanpa adanya haiwan jantan.
  • Setelah persenyawaan sel embrio akan mencapai tahap 8 sel, kemudian sel embrio ini akan mengalami proses pembelahan. Sel-sel embrio dimasukkan semula kedalam rahim haiwan.
  • Keturunan akan mempunyai sifat-sifat fizikal, dan potensi kejiwaan yang berbeza dengan induk-induknya.
  • Boleh menghasilkan lebih daripada satu anak.
  • Sel-sel embrio boleh disimpan untuk tujuan kajian sel tunjang (stem cell).
  • Hasil ujikaji pengklonan embrio haiwan boleh digunakan sebagai petunjuk kepada kajian sel tunjang manusia.

Proses Persenyawaan Normal

Setiap sel mempunya inti (nukleas) dan setiap nukleas mempunyai kromosom (benda genetik yang mengandungi maklumat/ciri-ciri sifat yang akan diturunkan kepada makhluk hidup). Sel somatik (sel tubuh yang mempunyai fungsi-fungsi tertentu) memiliki 46 kromoson di dalam nukleusnya (berpasangan:23 pasang kromosom). Sel sperma dan sel ovum hanya mempunyai 23 kromosom di dalam nukleusnya (tidak berpasangan). Rajah 2 menunjukkan proses persenyawaan normal bagi manusia bermula daripada penggabungan antara sperma dan ovum, proses pembentukan sel janin, sehinggalah lahirnya seorang manusia.

Rajah 2: Proses persenyawaan normal


Proses Pengklonan Manusia/Haiwan

Untuk meringkas perbincangan proses pengklonan manusia ataupun haiwan, kita hanya letakkan contoh proses pengklonan manusia kerana kedua-duanya menpunyai kesamaan. Rajah 3 menunjukkan proses pengklonan manusia. Proses pengklonan melibatkan sel-sel tubuh manusia (sel somatik) yang boleh diambil daripadda rambut, kuku, kulit, ataupun organ dalaman seperti jantung, paru-paru dan lain-lain. Kehadiran lelaki adalah pilihan dan tidak mampu menghalang perjalanan proses ini kerana ia tidak melibatkan sel sperma. Inti (Nukleas) sel somatik digabungkan dengan sel ovum yang telah dibuang intinya (nukleas). Keturunan atau zuriat yang lahir akan mempunyai sifat-sifat fizikal, potensi akal, dan potensi kejiwaan yang sama dengan induknya. Tetapi tidak hasil usaha induknya (seperti kelayakan akademik, harta, pangkat, ketaqwaan, dan lain-lain).

Rajah 3: Proses pengklonan manusia
Proses Pengklonan Embrio Manusia/Haiwan

Rajah 4 menunujukkan proses pengkolnan embrio manusia. Proses ini bermula dengan penglibatan sel-sel kelamin (sperma dan ovum). Kehadiran manusia lelaki adalah wajib sebelum proses ini bermula. Setelah persenyawaan sel embrio akan mencapai tahap 8 sel, kemudian sel embrio ini akan mengalami proses pembelahan. Pembelahan boleh berlaku sebanyak mungkin, tetapi risiko akan meningkat dengan jumlah pembelahan yang lebih banyak. Sel-sel embrio yang telah dibelah akan dimasukkan semula ke dalam rahim. Keturunan akan mempunyai sifat-sifat fizikal, potensi akal (IQ), dan potensi kejiwaan (EQ) yang berbeza dengan induk-induknya. Boleh menghasilkan lebih daripada satu anak zuriat. Masing-masing zuriat akan mempunyai sifat-sifat fizikal dan poetensi kejiwaan yang mirip. Tambahan, jantina mungkin boleh berbeza. Sel-sel embrio boleh disimpan (dibekukan-cryogenic) untuk tujuan kajian sel tunjang (stem cell).

Rajah 4: Proses pengklonan embrio manusia

Manfaat daripada Pengklonan Manusia

Secara saintifik antara manfaat pengklonan manusia adalah mampu menghasilkan dan memperbanyakkan keturunan yang cantik, cerdas, kuat, dan sebagainya kerana induk dipilih daripada manusia yang hebat. Tambahan pula tidak memerlukan kehadiran lelaki. Seterusnya dapat mempercepatkan perkembangan ekonomi, pembangunan, dan teknologi. Ini dapat kita lihat contohnya dalam filem-filem sains fiksyen barat.


Manfaat daripada Pengklonan Embrio Manusia

Proses ini dapat menghasilkan dan memperbanyakkan keturunan, lebih-lebih lagi bagi pasangan yang mempunyai masalah (mendapatkan zuriat). Sel-sel embrio boleh digunakan untuk kajian stem sel untuk mencari penawar kepada penyakit seperti kanser ataupun penjanaan semula organ.


Manfaat daripada Pengklonan Haiwan/Embrio Haiwan

Kaedah ini mampu menghasilkan memperbanyakkan keturunan yang cantik, kuat, dan sebagainya. Tidak memerlukan kehadiran haiwan jantan. Seterusnya. mempercepatkan perkembangan ekonomi, pembangunan, dan teknologi serta mempercepatkan kajian sel tunjang (penemuan penawar penyakit).


Pandangan Pihak Barat tentang Pengklonan

Tidak kurang yang menganggap pengklonan manusia sebagai tidak beretika kerana keputusan ujikaji pengklonan terhadap haiwan masih memiliki banyak ketidakpastian dan kekurangan. Sebagai contoh dariapda pengklonan manusia atau haiwan, secara teknikalnya akan melahirkan satu klon yang mempunyai umur sel yang sama seperti induknya. jika induknya berumur 40 tahun maka klon yang baru sahaja lahir akan mempunyai seluruh sel yang berusia 40 tahun. Ini akan menimbulkan banyak komplikasi dan klon tersebut akan mati dengan cepat. Sebab itu, secara teknikalnya, klon manusia terbaik adalah daripada sel yang di ambil ketika induk itu lahir (bayi). 

Sesetengah pihak menganggap pengklonan embrio manusia untuk tujuan kajian sel tunjang adalah tidak beretika kerana ia melibatkan pembunuhan embrio (dianggap sebagai seorang manusia).


Pandangan Islam tentang Pengklonan Haiwan/Embrio Haiwan dan Tumbuhan 

Perkara ini, jika dilihat daripada sudut untuk memperbaiki kualiti dan mempertingkatkan kuantiti haiwan dan tumbuhan maka hukumnnya adalah harus. Dalilnya berdasarkan kepada hadith di bawah.

Telah menceritakan kepada kami Abu Bakr bin Abu Syaibah dan ‘Amru An Naqidseluruhnya dari Al Aswad bin ‘Amir; Abu Bakr berkata; Telah menceritakan kepada kami Aswad bin ‘Amir; Telah menceritakan kepada kami Hammad bin Salamah dari Hisyam bin ‘Urwah dariBapaknya dari ‘Aisyah dan dari Tsabit dari Anas Radhiyallahu’anhu:

Bahwa Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam pernah melewati suatu kaum yang sedang mengawinkan pohon kurma lalu beliau bersabda:Sekiranya mereka tidak melakukannya, kurma itu akan (tetap) baik. Tapi setelah itu, ternyata kurma tersebut tumbuh dalam keadaan rusak. Hingga suatu saat Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam melewati mereka lagi dan melihat hal itu beliau bertanya: ‘Adaapa dengan pohon kurma kalian? Mereka menjawab; Bukankah anda telah mengatakan hal ini dan hal itu? Beliau lalu bersabda: ‘Kalian lebih mengetahui urusan dunia kalian.’
(Shahih Muslim 2363-141)

Manakala jika tujuannya adalah mencari ubat kepada penyakit/penawar hukumnya adalah sunnat. Dalil-dalinya adalah:

Imam ahmad meriwayatkan hadith dari Anas RA yang telah berkata, bahwa Rasulullah s.a.w. berkata yang maksudnya: “Sesungguhnya Allah Azza Wa Jalla setiap kali menciptakan penyakit, Dia menciptakan pula ubatnya. Maka berubatlah kalian!”.

Imam abu Dawud dan Ibnu Majah meriwayatkan dari Usamah bin Syuraik RA, yang berkata, ‘Wahai Rasulullah, bolehkah kami berubat?’ Maka Nabi s.a.w. menjawab: “Ya, Hai hamba-hamba Allah s.w.t., berubatlah kalian, sebab sesungguhnya Allah Azza wa Jalla tidaklah menciptakan penyakit kecuali menciptakan pula ubat baginya…..”


Pandangan Islam tentang Pengklonan Embrio Manusia 

Jika proses persenyawaan berlaku secara semulajadi (sel sperma + sel ovum) melalui proses pernikahan yang sah. Kemudian sel embrio dibahagikan (splitting). Jika sel-sel embrio dikembalikan kepada rahim bukan pemilik ovum (telur), contohnya dikembalikan ke dalam rahim isteri yang kedua, hukumnya adalah haram. Manakala jika sel-sel embrio dikembalikan ke dalam rahim pemilik ovum (telur) hukumnya adalah harus. Dalil-dalinya adalah:


Diriwayatkan dari Anas RA bahawa Nabi s.a.w. teah bersabda: “Menikahlah kalian dengan perempuan yang penyayang dan subur (peranak), sebab sesungguhnya aku akan berbangga di hadapan para nabi denga banyaknya jumlah kalian pada Hari Kiamat nanti” (HR Ahmad).

Diriwayatkan dari Abdullah bin Umar RA bahawa s.a.w. telah bersabda: “Menikahlah kalian dengan wanita-wanita yang subur (peranak) kerana sesungguh aku akan membanggakan (banyaknya) kalian pada Hari Kiamat nanti” (HR Ahmad).


Pandangan Islam tentang Pengklonan Manusia 

Klon manusia akan menjadi punca bencana dan kerosakan dunia dalil-dalil keharamannya adalah: zuriat daripada proses pengklonan dihasilkan secara tidak alami (semulajadi). Allah s.w.t. ber Firman di dalam Al-Quran yang bermaksud: 

 “dan Bahawasanya Dialah yang menciptakan berpasang-pasangan lelaki dan perempuan dari air mani apabila dipancarkan.” (AnNajm:45-46)

Allah s.w.t. juga berFirman yang bermaksud:

“Bukankah dia dahulu setetes mani yang ditumpahkan (ke dalam rahim). Kemudian mani itu menjadi segumpal darah, lalu Allah menciptakannya, dan menyempurnakannya,”(Al-Qiyaamah:37-38)

Anak-anak pengklonan dari perempuan sahaja (tanpa adanya lelaki), anak tidak mempunyai ayah. Jika anak pengklonan melalui proses ibu tumpang maka anak tersebut tersebut tidak mempunyai ibu. Ini adalah tindakan mensia-siakan manusia, Allah s.w.t. berFirman yang bermaksud:
“Hai manusia, Sesungguhnya kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan”(Al-Hujuraat:13)

“Panggilah mereka (anak-anak angkat itu) dengan (memakai) nama bapak-bapak mereka “(Al-Ahzaab:5)

Pengklonan akan menghilangkan nasab (garis keturunan). Diriwayatkan dari Ibnu ‘Abbas RA, yang menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud: 

“Siapa saja yang menghubungkan nasab kepada orang yang bukan ayahnya, atau (seorang budak) bertuan (taat) kepada selain tuannya, maka dia akan mendapat laknat dari Allah, para malaikat, dan seluruh manusia” (HR. Ibnu Majah)

Diriwayatkan dari Abu ‘Utsman An Nahri RA, yang berkata, ‘Aku mendengar Sa’ad dan Abu Bakrah masing-masing berkata, “Kedua-dua telingaku telah mendengar dan hatiku telah menghayati sabda Muhammad s.a.w. yang bermaksud: “Siapa sahaja yang mengaku-ngaku (sebagai anak) kepada orang yang bukan bapaknya, padahal dia tahu bahawa orang itu bukan bapanya, maka syurga baginya haram”(HR. Ibnu Majah)

Penghasilan anak melalui proses pengklonan akan mencegah perlaksanaan hukum syarak seperti perkahwinan, nasab, nafkah, hak, dan kewajipan antara bapa dan anak, waris, perawatan anak, hubungan kemahraman, dan lain-lain. Sesungguhnya perbuatan pengklonan manusia akan memporak perandakan struktur kehidupan masyarakat.


Kesimpulan

Berdasarkan dalil-dalil di atas maka disimpulkan bahawa:
  • Proses pengklonan tumbuhan dan haiwan adalah harus hukumnya, manakala proses pengklonan embrio haiwan adalah sunnat.
  • Proses pengklonan embrio manusia menurut pandangan Islam adalah harus.
  • Proses pengklonan manusia diharamkan, Allah s.w.t. berFirman tentang kata-kata Iblis yang bermaksud: “…dan akan aku (Iblis) suruh mereka (mengubah ciptaan Allah), lalu benar mereka mengubahnya” (An-Nisaa’:119).

Rujukan
  1. Abdul Qadim Zallum, “Beberapa Problem Kontemporer Dalam Pandangan Islam”, 1998, Penerbit Al-Izzah, Bangil-Jatim:Indonesia.
  2. http://www.nlm.nih.gov/medlineplus//pregnancy.html
  3. http://labtestsonline.org/understanding/analytes/afp_maternal/test.html
  4. http://www.fha.state.md.us/genetics/html/obst_gc.html
  5. http://www.mayoclinic.com/health/prenatal-testing/PR00095
  6. http://www.genome.gov/10004765
  7. http://stemcells.nih.gov/
  8. http://www.arhp.org/patienteducation/onlinebrochures/cloning/index.cfm?ID=282


Tiada ulasan: